Antara ketakutan terbesar anak muda hari ini ialah kewangan.
Mereka rasa belum layak berkahwin selagi belum ada rumah besar, kereta mahal, atau simpanan luar biasa. Akhirnya, ramai menangguhkan perkahwinan terlalu lama.
Hakikatnya, perkahwinan bukan tentang kemewahan. Ia tentang tanggungjawab.
Persiapan kewangan yang sihat bermaksud kita mampu menyediakan basic needs:
Tempat tinggal
Makanan
Bil asas
Kenderaan
Perubatan
Pakaian
Itu sahaja sudah mencukupi, ikut setakat mana anda mampu.
Maka, tahap kita akan berbeza-beza mengikut prioriti dan citarasa masing-masing.
Masalah berlaku apabila masyarakat lebih sibuk mengejar walimah daripada nikah.
Majlis besar-besaran, hantaran tinggi, dan pelamin mahal, semua ini kadang-kadang menjadi beban bertahun selepas akad nikah selesai.
Ironinya, ada pasangan memulakan perkahwinan dengan hutang hanya untuk memuaskan hati orang lain selama beberapa jam. Itupun ada juga yang tidak puas hati, dan mereka tidak sumbangkan satu sen pun kepada kos besar kita telah keluarkan.
Perkahwinan yang baik tidak perlukan lifestyle mewah. Ia perlukan kestabilan, kerjasama, dan kemampuan mengurus apa yang ada.
Jangan tunggu sempurna baru mahu berkahwin. Tetapi jangan juga masuk perkahwinan tanpa rasa tanggungjawab.
Belajar bezakan antara “keperluan” dan “gaya hidup”.


